Thursday, May 13, 2010

Selamat Hari Ibu


Tiba-tiba je aku rasa rindu. Rasa sunyi, rasa cam keseorangan. Rasa sebak. Sebak yang amat-amat. Perasaan ni kalau dilayan makin teruk rasanya. Semuanya disebabkan pagi tadi. Pagi tadi masa aku beli teh o ais, orang kampung aku tegur aku. Hang anak sapa ha? Aku jawab.. Pak Bakar.. Oooo anak Bakaq.. Mak ang Ramlah kan.. Lepa panggil dia maksu.. Maksu tu dulu baik sangat ngan aku. Sayang dia dah meninggal. Dah besaq pun hang rupanya. Dengar je kenyataan tu aku jadi sebak. Masuk tahun ni dah 13 tahun mak tersayang meninggalkan kami berenam. Belum puas rasanya aku bermanja dengan mak. Mak pergi masa aku darjah 6. Betul-betul nak periksa UPSR.

Dulu masa mak ada, aku selalu suruh mak bancuh air milo. Air kegemaran aku. Pukul 2 pagi pun kalau aku mintak, mak mesti buat. Mak tak pernah mengeluh. Rindu sangat nasi kandar, masak lemak, asam pedas masakan mak. Paling sedap mak suka buat ikan bilis masak sambal dengan terung kecik. Makan time hujan kalau kena dengan kopi o sangat nikmat. Tapi sayang semuanya tinggal kenangan. Mak pergi tak kembali lagi. Tuhan lebih sayangkan mak melebihi kasih sayang kami.

Dalam ingatan aku, mak sangat cantik. Kulitnya kuning langsat. Malah mak juga kuat merajuk. Dulu aku lihat ayah selalu mengusik mak. Ayah cakap dia suka tengok mak merajuk. Kalau mak bersolek, mak macam artis. Mak hanya tersenyum kalau aku memuji. Last-last aku akan pujuk mak buat air milo. Minuman kegemaran aku.

Mak menderita kanser payudara. Masa tu kes ni baru menyerang wanita di Malaysia. Mak terpaksa mendapatkan rawatan di Ipoh. Aku ingat lagi kata-kata mak sebelum semuanya berlaku. Mak pulang ke kampung seminggu selepas mendapat terapi di Ipoh. Rindu pada anak-anak katanya. Hari tu mak belanja kami makan burger. Siangnya mak bawak anak sedara pergi jalan-jalan di kampung. Sebelum pulang ke Ipoh mak kata mak akan pulang lagi. Mungkin hari isnin depan. Mungkin duduk lebih lama dan selama-lamanya di kampung. Hati aku masa tu girang sangat sebab rindu kat mak tuhan saja yang tahu.

Isnin berikutnya, aku sangat hairan bila tiada sesiapa pun mengejutkan aku ke sekolah. Aku bertambah pelik bila ramai adik beradik berkumpul di kampung aku. Kata mereka mak aku akan pulang dari Ipoh. Aku sangat gembira sekali mendapat perkhabaran ini. Aku terus mandi dan bersiap untuk menunggu kepulangan mak. Kemudian aku menonton tv bersama adik aku. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan ketukan yang agak kasar di pintu beranda. Aku segera membuka pintu. Aku terkedu ketika pintu dibuka. Di depanku, pak ngah sedang menangis teresak-esak. Aku cuba menenangkannya. Pak ngah memeluk aku. Dalam pelukannya yang erat dia memberitahu ibu tercinta sudah pergi buat selamanya.

Luluh jiwa aku mendapat berita itu. Terasa dunia ni kosong. Masa seakan-akan berhenti. Kini giliran aku pula menangis. Aku menangis sepuas-puasnya. Tidak kusangka, mak memang pulang, tetapi pulang sebagai jasad yang tidak bernyawa lagi. Rindu sangat kat mak. Semoga roh mak dicucuri rahmat. Semoga mak ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Kalau mak masih ada, nak saja aku ucapkan yang aku benar-benar sayangkan mak. Rindu sangat kat mak.... Al-Fatihah buat mak tersayang Ramlah Bt Ismail.




No comments:

Post a Comment